Selasa, 27 Ogos 2013

MUTIARA IKHLAS - Bahagian 1

Sifat ikhlas adalah senjata utama dan paling kuat untuk melawan syaitan. Hanya dengan keikhlasan sahaja akan membentuk jiwa dan roh yang tenang dan kuat. Oleh itu setiap perawat mesti mendidik diri supaya ikhlas dalam setiap perkara yang dilakukan.

Ibnul Qayyim juga menyifatkan pemilik hati yang selamat itu dengan ucapannya; "Ia akan senantiasa berusaha mendahulukan keredhaanNya dalam keadaan apapun serta berupaya untuk selalu menjauhi kemurkaanNya dengan berbagai-bagai cara". Kemudian, beliau juga mengatakan; "Amal yang ikhlas kerana Allah, apabila dia mencintai maka cintanya kerana Allah. Apabila dia membenci maka bencinya juga kerana Allah. Apabila memberi maka pemberiannya itu karena Allah dan apabila tidak memberi juga kerana Allah..." (Ighatsat al-Lahfan, hal. 15)

Syaikh as-Sa'di rahimahullah berkata;" Hati yang selamat itu adalah hati yang selamat daripada syirik dan keraguan serta terbebas daripada kecintaan kepada keburukan atau dosa dan jika tidak, perilaku akan terus-menerus berkubang dalam kebid'ahan dan dosa. Apabila hati itu bersih daripada apa-apa yang disebutkan tadi, maka kesannya adalah ia akan menjadi hati yang diwarnai dengan lawan-lawannya iaitu; keikhlasan, ilmu, keyakinan, cinta kepada kebaikan serta kelihatan keindahan kebaikan itu di dalam hatinya sehingga keinginan dan rasa cintanya akan sentiasa mengikuti kecintaan Allah, dan hawa nafsunya akan tunduk dan patuh mengikuti apa yang datang daripada Allah." (Taisir al-Karim ar-Rahman [2/812])

Kisah keengganan Iblis untuk tunduk kepada Nabi Adam AS adalah kerana Iblis takbur (sombong) dan bermegah dengan kejadiannya daripada api, sedangkan Adam AS daripada tanah. Hal ini menyebabkan Iblis dilaknat Allah SWT dan dikeluarkan daripada syurga. Perkara ini disebutkaan oleh Allah SWT dengan jelas dalam Al-Quran tentang permintaan Iblis agar dipanjangkan umurnya sampai hari kiamat dengan tujuan untuk menggoda dan menyesatkan manusia. Allah SWT mengizinkan permintaan tersebut. Namun iblis, dan sekutunya syaitan tidak akan mampu untuk menggoda dan melakukan sesuatu terhadap hamba Allah yang ikhlas. Firman Allah SWT dalam surah Sad ayat 76-83 :

(76 ) Iblis menjawab : “ Aku lebih baik daripadanya, Engkau ( Wahai Tuhanku ) menciptakan daku daripada api , sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah”. ( 77 ) Allah berfirman “ kalau demikian , keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. ( 78 ) “ dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatKu terus menerus hingga ke hari kiamat” ! ( 79 ) iblis berkata “ Wahai Tuhanku” ! jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan ( hari kiamat )”. ( 80 ) Allah berfirman “ Dengan permohonan itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh, (81) hingga ke hari masa yang termaklum”. (82) Iblis berkata : Demi kekuasaanMu ( Wahai Tuhanku ), aku akan menyesatkan mereka semuanya. (83) Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam yang ikhlas.

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa iblis dan syaitan tidak akan mampu untuk mengganggu dan menimbulkan sebarang keraguan kepada seseorang yang ikhlas hati nuraninya dalam melakukan apa jua perkara. Menanamkan sifat ikhlas dalam diri meletakkan bahawa setiap urusan dan perkara yang dilakukan hanya semata-mata kerana Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap perawat perlu bersifat ikhlas dalam segenap aspek khususnya ketika usaha membantu meringankan bebanan kesakitan yang ditanggung oleh pesakit.

 Di antara ciri-ciri untuk menyuburkan sifat ikhlas adalah seperti :
i. Sentiasa memelihara ibadat wajib
ii. Melakukan perintah Allah SWT dengan rasa Hubb
iii. Tidak melakukan perkara-perkara yang ditegah
iv. Tidak mementingkan dunia berbanding dengan kepentingan akhirat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan