Selasa, 24 September 2013

MUTIARA IKHLAS - Bahagian 2

Ayat-ayat Allah berkenaan ikhlas
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab dengan benar, maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan agama untukNya. Ketahuilah, sesungguhnya agama yang murni itu merupakan hak Allah."(Surah Az-Zumar: 2-3)
"Padahal, mereka tidaklah disuruh melainkan supaya beribadah kepada Allah dengan mengikhlaskan agama untuk-Nya dalam menjalankan ajaran yang lurus, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Demikian itulah agama yang lurus." (Surah Al-Bayyinah: 5)
"Berdoalah kepada Allah dengan mengikhlaskan agama dan amal untukNya, meskipun orang-orang kafir tidak menyukai.” (Surah Ghafir: 14)

Hadis Nabi berkenaan ikhlas
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amalan kecuali yang ikhlas dan dilakukan demi mengharap wajahNya."(HR. Nasa'i, dari Abu Umamah al-Bahili radhiyallahu'anhu, sanadnya hasan, dihasankan oleh al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya')

Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang paling berbahagia dengan syafa'atku kelak pada hari kiamat adalah orang yang mengucapkan la ilaha illallah dengan ikhlas dari dalam hati atau dirinya." (HR. Bukhari dari Abu Hurairah radhiyallahu'anhu).

Kerana satu dinar emas
Kisah yang sering kali kita tentang dengar apabila membicarakan keikhlasan yang ditulis oleh Imam Al-Ghazali dalam kitabnya "Ihya' Ulumuddin" berkaitan kisah seorang lelaki soleh yang mendapat berita tentang sebatang pokok yang menjadi sembahan orang ramai di sebuah kampung. Dengan semangat amar makruf nahi mungkar, lelaki itu mengambil sebilah kapak dan pergi untuk menebang pokok tersebut. Di Pertengahan jalan beliau bertemu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki. Syaitan itu menghalangnya dan berlakulah pergelutan. Lelaki soleh itu dengan mudah mengalahkan syaitan. Syaitan itu tidak berpuas hati lalu pergelutan terus berlaku yang akhirnya tetap dimenangi lelaki soleh tersebut. Akhirnya syaitan mengaku kalah, tetapi ia menukar strategi. Ia membuat satu tawaran kepada lelaki soleh itu. Syaitan akan memberikan satu dinar emas pada setiap pagi sekiranya lelaki itu membatalkan niatnya untuk menebang pokok sembahan itu. Lelaki itu termakan tawaran syaitan, lalu pulang ke rumah.

Esok pagi, didapatinya ada sekeping dinar emas di bawah bantal dan ia mengakui syaitan tersebut telah menunaikan janjinya. Begitulah seterusnya pada hari kedua. Namun pada hari ketiga, dinar tersebut tiada lagi. Ternyata syaitan itu telah mula menipu. Berang dengan perlakuan syaitan tersebut, lelaki itu mencapai kapaknya untuk meneruskan semula rancangan awalnya untuk menebang pokok sembahan. Di pertengahan jalan, syaitan menyamar itu datang menghalang lagi dan berlakulah pergelutan. Kali ini lelaki soleh itu kalah. Dia cuba bangun sekali lagi namun tetap kalah malah dicubanya kali ketiga tetapi tetap kalah. Ketika itu dia bertanya kenapa dia kalah dan adakah lawannya sudah semakin gagah? Syaitan menjawab "Engkau kalah kerana kali ini niatmu untuk mencegah kemungkaran bukan lagi kerana Allah, tetapi kerana dinar emas." Ya, lelaki itu mengakui bahawa dirinya menjadi lemah kerana niatnya kali ini sudah tidak ikhlas. terbuktilah bahawa keikhlasan itu merupakan suatu kekuatan dan kehormatan.

Gara-gara Tidak Ikhlas
Sulaiman bin Yasar berkata: "Suatu masa, ketika orang-orang mulai bersurai meninggalkan majlis Abu Hurairah, maka Natil, salah seorang penduduk Syam, berkata kepadanya, "Wahai Syaikh, tuturkanlah kepada kami suatu hadis yang pernah anda dengar dari Rasulullah SAW."
Abu Hurairah menjawab; "Baiklah, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda": "Sesungguhnya orang-orang yang pertama kali diadili pada hari kiamat adalah: 

1.            Seorang lelaki yang telah berjuang demi mencari mati syahid. Lalu dia dihadirkan dan ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang sekiranya akan diperolehnya, sehingga dia pun dapat mengenalinya. Allah SWT bertanya kepadanya: "Apa yang telah kamu lakukan untuk mendapatkan itu semua?". Dia menjawab, "Aku berperang di jalanMu sampai aku menemui mati syahid."
Allah SWT berfirman;
"Kamu dusta, sebenarnya kamu berperang agar disebut-sebut sebagai pemberani, dan sebutan itu telah kamu peroleh di dunia." Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk menyeretnya dalam keadaan meniarap di atas wajahnya sehingga akhirnya dia dilemparkan ke dalam api neraka”.
2.         Seorang lelaki yang menimba ilmu dan mengajarkannya serta pandai membaca dan menghafal al-Quran. Lalu dia dihadirkan dan ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang sekiranya akan diperolehnya, sehingga dia pun dapat mengenalinya. Allah SWT bertanya kepadanya; "Apa yang telah kamu lakukan untuk mendapatkan itu semua?". Dia menjawab, "Aku menimba ilmu dan mengajarkannya serta aku membaca dan menghafal Al-Qur'an di jalanMu."
Allah menyanggah jawapannya;
"Kamu dusta. Sebenarnya kamu menimba ilmu agar disebut-sebut sebagai orang alim, dan kamu membaca al-Quran agar disebut sebagai qari'. Dan sebutan itu telah kamu dapatkan di dunia. "Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk menyeretnya dalam keadaan tertelungkup di atas wajahnya hingga akhirnya dia dilemparkan ke dalam api neraka”.

3.         Seorang lelaki yang diberi kelapangan oleh Allah serta mendapatkan kurnia berupa segala macam bentuk harta. Lalu dia dihadirkan dan ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang sekiranya akan diperolehnya, sehingga dia pun dapat mengenalinya. Allah bertanya kepadanya; "Apa yang telah kamu lakukan untuk mendapatkan itu semua?". Dia menjawab, "Tidak ada satupun kesempatan yang Engkau cintai agar hamba-Mu berinfak padanya melainkan aku telah berinfak padanya untuk mencari redhaMu." 
Allah menyanggah jawapannya;
"Kamu dusta. Sesungguhnya kamu berinfak hanya demi mendapatkan sebutan sebagai orang yang dermawan. Dan sebutan itu telah kamu dapatkan di dunia."
“Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk menyeretnya dalam keadaan tertelungkup di atas wajahnya hingga akhirnya dia dilemparkan ke dalam api neraka."
(Riwayat Muslim)

Hadis ini banyak memberikan faedah bagi kita dalam mengenal erti sebenar keikhlasan, antaranya:
            Dosa riak- iaitu beramal kerana dilihat orang dan demi mendapatkan sanjungan-adalah dosa yang sangat diharamkan dan sangat berat hukumannya. (Syarh Muslim[6/531]). 
            Riak merupakan bahaya yang sangat dikhuatiri Nabi SAW akan menimpa orang-orang soleh seperti para sahabat. Baginda bersabda; "Mahukah ku khabarkan kepada kalian mengenai sesuatu yang lebih aku takutkan menyerang kalian daripada al-Masih ad-Dajjal?".
            Para sahabat menjawab, "Mahu ya Rasulullah." Baginda bersabda,"Iaitu syirik yang samar. Tatkala seorang berdiri menunaikan solat lantas menyempurnakan solatnya kerana merasa dirinya diperhatikan oleh orang lain." (HR. Ahmad dan Ibnu Majah, al-Bushiri; at-Tam-hid, hal. 397, al-Qaul al-Mufid [2/55]). 

            Dorongan agar menunaikan kewajipan ikhlas dalam beramal. Hal ini sebagaimana yang telah diperintahkan Allah SWT dalam ayatNya yang bermaksud: "Tidaklah mereka diperintahkan melainkan agar menyembah Allah dengan mengikhlaskan amal untukNya dalam menjalankan agama yang lurus." (Surah al-Bayyinah: 5)
            Hadis ini menunjukkan bahawa dalil-dalil lain yang bersifat umum yang menyebutkan keutamaan jihad itu hanyalah berlaku bagi orang-orang yang berjihad secara ikhlas. Demikian pula pujian-pujian yang ditujukan kepada ulama dan orang-orang yang gemar berinfak dalam kebaikan hanyalah dimaksudkan bagi orang-orang yang melakukannya ikhlas kerana Allah SWT.
(SyarhMuslim [6/531-532])

            Sesungguhnya ikhlas tidak akan berkumpul dengan kecintaan kepada pujian dan sifat rakus terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain. Ibnul Qayyim rahimahullah berkata;
"Tidak akan bersatu antara ikhlas di dalam hati dengan kecintaan terhadap pujian dan sanjungan serta ketamakan terhadap apa yang dimiliki oleh manusia, kecuali sebagaimana bersatunya air dengan api atau dhaab, sejenis biawak dengan ikan, iaitu musuhnya juga."
(al-Fawa'id, hal. 143)

            Keikhlasan merupakan sesuatu yang memerlukan perjuangan dan kesungguhan dalam menundukkan hawa nafsu. Sahl bin Abdullah berkata; "Tidak ada sesuatu yang lebih sulit bagi jiwa manusia selain daripada ikhlas kerana di dalamnya sama sekali tidak terdapat jalan untuk memuaskan.hawa.nafsunya.".(Jami'.al-'Ulum.wa.al-Hikam,.hal..26).

Sebahagian salaf berkata; 
"Tidaklah aku berjuang menundukkan diriku dengan perjuangan yang lebih berat daripada perjuangan untuk meraih ikhlas." (Al-Qaul al-Mufid [2/53])


            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan