Selasa, 16 Julai 2013

HIKMAH MEMBANTU DI SEBALIK RAWATAN ISLAM

HIKMAH MEMBANTU DI SEBALIK RAWATAN ISLAM

              Orang yang sanggup membantu orang lain yang mengahadapi kesusahan, akan diberikan ganjaran pahala yang besar di akhirat kelak, dan diberi kemuliaan di dunia ini. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullullah s.a.w :
“Sesiapa yang menyejukkan mata seorang mukmin (menghilangkan kesusahannya), nescaya Allah akan menyejukkan matanya di Hari Kiamat.”
Sabda baginda lagi :
“Sesiapa yang melapangkan diri seorang mukmin yang sedang dalam kesusahan, atau menolong seorang mukmin yang teraniaya, nescaya ia akan diampunkan dosanya.”
“Sebaik-baik manusia ialah yang lebih bermanfaat kepada manusia lain” (Hadis riwayat Thabrani)

“Seseorang Muslim itu menjadi saudara Muslim lainnya, kerana itu tidak diperbolehkan seorang Muslim menganiaya akan saudaranya, juga tidak boleh seorang Muslim menghina saudara Muslim yang lainnya. Dan sesiapa yang memberikan pertolongan (memenuhi hajat keperluan saudaranya), maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya. Dan sesiapa yang memberi kemudahan/memberikan kelapangan bagi kesusahan seseorang Muslim, nescaya Allah melapangkan kesusahannya pada hari kiamat”          (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

              Allah s.w.t menyeru agar sentiasa bantu-membantu dalam perkara kebaikan sebagaimana dimaktubkan dalam firman-Nya :
“Dan tolong-menolonglah kamu atas kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong atas dosa dan permusuhan” (Surah al-Maidah : 2)

              Setiap perbuatan manusia di dunia ini akan dinilai oleh Allah s.w.t. Malah Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah sekalipun sebagaimana firman-Nya :
“Sesiapa yang membuat kebaikan walau seberat zarah, nescaya Allah akan melihatnya, dan sesiapa yang membuat kejahatan walau sebesar zarah, nescaya Allah akan melihatnya juga” (Surah al-Zalzalah : 7 -8)

              Sebagai umat yang terbaik sebagaimana yang diiktiraf oleh Allah s.w.t, konsep bantu-membantu dalam Perubatan Islam akan melahirkan insan yang bertaqwa, beraspirasi, berakhlak mulia serta mampu mencapai kesempurnaan hidup secara amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah melakukan kejahatan). Allah merakamkan perihal ini melalui firman-Nya dalam Surah ali-Imran ayat 110 :
“Kamu sekalian (umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, kamu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan beriman kepada Allah”

              Membantu seseorang yang dalam kesusahan, kesulitan, kerunsingan dan kesakitan adalah suatu kewajipan. Rasulullah s.a.w bersabda :
“Tolong saudaramu baik yang dianiaya orang mahupun yang menganiaya” Sahabat bertanya: “Bagaimana cara kami menolong orang yang menganiaya?” Maka jawab Nabi:”Engkau cegah dia melakukan penganiayaan. Dan dengan demikian engkau sudah menolong orang yang menganiaya daripada terjerumus ke dalam dosanya”
(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

              Perawat perlulah menggunakan pendekatan berhikmah dalam melaksanakan dakwah menerusi Perubatan Islam sebagaimana firman Allah :  
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik” (Surah an-Nahl : 125)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan