Selasa, 27 Ogos 2013

MUTIARA IKHLAS - Bahagian 1

Sifat ikhlas adalah senjata utama dan paling kuat untuk melawan syaitan. Hanya dengan keikhlasan sahaja akan membentuk jiwa dan roh yang tenang dan kuat. Oleh itu setiap perawat mesti mendidik diri supaya ikhlas dalam setiap perkara yang dilakukan.

Ibnul Qayyim juga menyifatkan pemilik hati yang selamat itu dengan ucapannya; "Ia akan senantiasa berusaha mendahulukan keredhaanNya dalam keadaan apapun serta berupaya untuk selalu menjauhi kemurkaanNya dengan berbagai-bagai cara". Kemudian, beliau juga mengatakan; "Amal yang ikhlas kerana Allah, apabila dia mencintai maka cintanya kerana Allah. Apabila dia membenci maka bencinya juga kerana Allah. Apabila memberi maka pemberiannya itu karena Allah dan apabila tidak memberi juga kerana Allah..." (Ighatsat al-Lahfan, hal. 15)

Syaikh as-Sa'di rahimahullah berkata;" Hati yang selamat itu adalah hati yang selamat daripada syirik dan keraguan serta terbebas daripada kecintaan kepada keburukan atau dosa dan jika tidak, perilaku akan terus-menerus berkubang dalam kebid'ahan dan dosa. Apabila hati itu bersih daripada apa-apa yang disebutkan tadi, maka kesannya adalah ia akan menjadi hati yang diwarnai dengan lawan-lawannya iaitu; keikhlasan, ilmu, keyakinan, cinta kepada kebaikan serta kelihatan keindahan kebaikan itu di dalam hatinya sehingga keinginan dan rasa cintanya akan sentiasa mengikuti kecintaan Allah, dan hawa nafsunya akan tunduk dan patuh mengikuti apa yang datang daripada Allah." (Taisir al-Karim ar-Rahman [2/812])

Kisah keengganan Iblis untuk tunduk kepada Nabi Adam AS adalah kerana Iblis takbur (sombong) dan bermegah dengan kejadiannya daripada api, sedangkan Adam AS daripada tanah. Hal ini menyebabkan Iblis dilaknat Allah SWT dan dikeluarkan daripada syurga. Perkara ini disebutkaan oleh Allah SWT dengan jelas dalam Al-Quran tentang permintaan Iblis agar dipanjangkan umurnya sampai hari kiamat dengan tujuan untuk menggoda dan menyesatkan manusia. Allah SWT mengizinkan permintaan tersebut. Namun iblis, dan sekutunya syaitan tidak akan mampu untuk menggoda dan melakukan sesuatu terhadap hamba Allah yang ikhlas. Firman Allah SWT dalam surah Sad ayat 76-83 :

(76 ) Iblis menjawab : “ Aku lebih baik daripadanya, Engkau ( Wahai Tuhanku ) menciptakan daku daripada api , sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah”. ( 77 ) Allah berfirman “ kalau demikian , keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. ( 78 ) “ dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatKu terus menerus hingga ke hari kiamat” ! ( 79 ) iblis berkata “ Wahai Tuhanku” ! jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan ( hari kiamat )”. ( 80 ) Allah berfirman “ Dengan permohonan itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh, (81) hingga ke hari masa yang termaklum”. (82) Iblis berkata : Demi kekuasaanMu ( Wahai Tuhanku ), aku akan menyesatkan mereka semuanya. (83) Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam yang ikhlas.

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa iblis dan syaitan tidak akan mampu untuk mengganggu dan menimbulkan sebarang keraguan kepada seseorang yang ikhlas hati nuraninya dalam melakukan apa jua perkara. Menanamkan sifat ikhlas dalam diri meletakkan bahawa setiap urusan dan perkara yang dilakukan hanya semata-mata kerana Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap perawat perlu bersifat ikhlas dalam segenap aspek khususnya ketika usaha membantu meringankan bebanan kesakitan yang ditanggung oleh pesakit.

 Di antara ciri-ciri untuk menyuburkan sifat ikhlas adalah seperti :
i. Sentiasa memelihara ibadat wajib
ii. Melakukan perintah Allah SWT dengan rasa Hubb
iii. Tidak melakukan perkara-perkara yang ditegah
iv. Tidak mementingkan dunia berbanding dengan kepentingan akhirat

KONSEP SANAD DAN IJAZAH

Sanad
Sandaran - susunan periwayatan ilmu dan amalan yang membawa suatu perkhabaran sehinggalah sampai kepada sumbernya yang asal.

Ijazah
Pemberian atau pengesahan & pengiktirafan sesuatu ilmu dan amalan yang disampaikan oleh guru kepada murid-muridnya.

KENAPA SANAD PENTING?
1) Sebagai bukti bahawa ilmu & amalan yang diterima itu benar-benar sahih daripada Rasulullah s.a.w.
2) Kaedah & adab berguru & beramal dalam agama.
3) Sanad & ijazah memberikan keberkatan & keberkesanan amalan.
4) Sanad memberikan hujah & keyakinan bahawa amalan yang dilakukan tidak menyeleweng daripada ajaran guru yang asal.
5)  Sebagai paksi ilmu dalam beramal yang berlandaskan aqidah yang sahih, ibadah yang murni dan akhlak yang sempurna.

Khamis, 1 Ogos 2013

SIFAT DAN CIRI-CIRI PERAWAT ISLAM

CIRI-CIRI PERAWAT ISLAM
  1. Niat yang betul.
  2.  Bertaqwa
  3.  Ikhlas
  4. Taqarrub dengan Allah s.w.t
  5. Sabar
  6. Tenang
  7. Yakin
  8. Tawadhu’
  9. Berilmu
  10. Berguru (berijazah)
  11. Tidak putus asa
  12. Tawakkal
  13. Istiqamah
  14. Berakhlak mulia
  15. Benteng diri dengan kalam Allah
  16. Sudah berkahwin.
  17. Belas kasihan
PERKARA-PERKARA PENTING BAGI PERAWAT ISLAM
  1. Perawat hendaklah beraqidah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  2. Perawat hendaklah mendalami ilmu agama dan memahami hal-ehwal jin dan syaitan secara mendalam.
  3. Perawat perlulah bersanad dan berijazah.
  4. Perawat perlu melaksanakan usaha dakwah dengan berteraskan amar makruf, nahi mungkar.
  5. Perawat perlu berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
  6. Perawat tidak boleh merokok.
  7. Perawat perlu memelihara rahsia pesakit.
  8. Perawat perlu sentiasa menjauhkan diri daripada melakukan maksiat dan dosa kepada Allah s.w.t.
  9. Perawat perlu ada amalan harian yang dilaksanakan secara istiqamah, khususnya zikir pada waktu pagi dan petang seperti bacaan mathurat.
  10. Perawat hendaklah sentiasa berdamping dengan Al-Quran.
  11. Perawat perlu melazimi kuliah pengajian agama bagi menambah ilmu agama.
  12. Melazimi berpuasa pada hari Isnin dan Khamis serta hari-hari yang disunatkan berpuasa.
  13. Perawat hendaklah berakhlak dengan sifat mahmudah dan meninggalkan sifat mazmumah.
  14. Perawat tidak boleh sombong, bongkak, ego dan membangga diri. Perlu sentiasa bersifat tawadhu’.
  15. Memahami konsep kemakbulan doa
  16. Penerimaan tanpa syarat iaitu bersedia membantu sesiapa sahaja.
  17. Memiliki asas ketahanan jiwa dan kekuatan roh.

PRINSIP-PRINSIP ASAS PERUBATAN ISLAM

PRINSIP-PRINSIP ASAS PERUBATAN ISLAM
  1. Kaedah rawatan tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah, ijma’ ulama’ serta amalan para salafussoleh.
  2. Tidak boleh menetapkan sebarang bentuk bayaran tertentu terhadap ikhtiar pengubatan yang dilakukan.Justeru aspek keikhlasan perawat dan keikhlasan pesakit perlu ditampilkan. Kombinasi ini merupakan antara elemen yang membantu dalam pemulihan pesakit. Sekiranya melibatkan barangan, pesakit tidak boleh dipaksa untuk membeli barangan yang ditawarkan dengan pakej tertentu bagi tujuan merawat penyakitnya. Terpulang kepada pesakit untuk membuat keputusan.
  3. Perawat tidak boleh meninggalkan kerja-kerja asasi yang lain termasuklah tanggungjawab kepada masyarakat dan keluarga.
  4. Perawat tidak boleh mengajukan tawaran bagi mengubati pesakit.
  5. Kaedah dan prosedur rawatan tidak menimbulkan fitnah. Contohnya, perawat tidak boleh memukul pesakit sehingga memudaratkannya.